Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan bermula 1 Disember 2014 penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal (managed float).
Kaedah ini adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit dibuat terhadap RON97 sejak Julai 2010.
Sebelum ini harga runcit bagi produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Automatic Price Mechanism (APM) sejak 1983.
Melalui APM, Kerajaan menetapkan harga runcit produk pada satu paras tertentu di mana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.
Bagaimanapun melalui pengapungan terkawal (managed float), purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga pada bulan berikutnya.
Ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya.
Sebagai contoh dari 1 hingga 19 November 2014, purata harga RON95 di bawah APM menurun kepada RM2.27 seliter yang mana lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter.
Dalam hal ini, Kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 31 November 2014 dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember.
Jika trend ini berlarutan, dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan terus berkurang berdasarkan formula APM.
Pada masa ini harga runcit RON95 di stesen minyak adalah RM2.30 seliter manakala diesel RM2.20 seliter.
Namun mulai 1 Disember ini penetapan harga di stesen minyak akan bergantung kepada kaedah yang disebut di atas.
Keputusan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON97.
Langkah ini membuktikan hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia.
Kaedah pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel ini telah dikaji Kerajaan sebelum ia diputuskan untuk dilaksana. - MYNEWSHUB.CC
0 Response to "TERKINI: Harga RON95 Dan Diesel Ikut Kaedah ‘Manage Float’"
Post a Comment