Panas! Miera Liyana Jalinkan Hubungan Cinta Dengan Fauzi Nawawi? - Kuala Lumpur: Belum pun reda kontroversi mengaitkan dirinya dengan penampilan seksi berbaju mandi dalam kolam renang menerusi filem Dendam Orang Mati, pelakon sensasi Miera Liyana Kasmi sekali lagi dipalit dakwaan kononnya mula menjalin hubungan rahsia dengan pengarah dan pelakon filem, Fauzi Nawawi.
Miera menjadi sasaran buah mulut selepas ada pihak mendakwa melihat dia bermesraan dengan Fauzi apabila berpegangan tangan dalam perjalanan ke satu majlis sambutan hari jadi, baru-baru ini.
Ditanya kesahihan cerita itu, pelakon yang berjaya menempatkan diri di persada seni menerusi siri drama Internet Luna Fantasiku itu menafikan dakwaan terbabit, malah menganggapnya sebagai tidak masuk akal.
Miera, 21, berkata dia terkejut dan tidak menyangka dipalit kontroversi sedemikian dengan berlapikkan alasan bahawa perbezaan umur hampir 20 tahun dengan suami Lisdawati itu.
“Saya menganggap dia (Fauzi) sebagai idola saya terutama untuk memantapkan diri dalam bidang kerjaya lakonan kerana dia banyak membantu saya berlakon dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, sebelum ini dia digandingkan bersama pelakon lelaki itu menerusi sebuah telefilem di Jakarta, Indonesia bertajuk ‘Pacarku Kehabisan Ongkos’ yang akan ditayangkan di stesen televisyen Indonesia dan Malaysia.
“Dalam telefilem itu saya memegang watak heroin manakala dia (Fauzi) sebagai bapa saya. Saya teruja apabila digandingkan bersamanya apatah lagi dalam usia saya yang masih muda ini, tentunya
ia pencapaian yang boleh dibanggakan apabila turut sama ditawarkan berlakon di negara jiran itu.
“Selepas habis menjalani penggambaran filem itu kira-kira seminggu lalu saya juga tidak ada berjumpanya dan saya juga pelik bagaimana timbul dakwaan seperti ini.
“Apa yang pasti saya tahu apa yang saya lakukan dan aksi seperti berpegangan tangan sambil bermesra itu adalah tidak benar sama sekali. Saya juga masih terlalu muda apatah lagi untuk mengganggu rumah tangga orang lain. Saya bukan perempuan jenis itu,” katanya.
Sementara itu, Fauzi Nawawi berkata, timbul persoalan kenapa dia perlu bermesra dan memegang tangan Miera memandangkan masih ramai lagi pelakon muda yang lebih kacak berbanding dirinya.
“Kalau saya dapat memegang tangan Miera betapa bertuahnya hidup saya.
Hakikatnya tindakan berpegangan tangan dan bermesra itu tidak pernah berlaku dan saya juga terkejut dengan dakwaan seperti ini,” katanya.
Katanya, dia menghormati sikap dan diri pelakon wanita itu. Walaupun masih muda namun bakat dalam bidang lakonan tidak dapat dinafikan kehebatannya sehingga dia (Miera) juga turut ditawarkan berlakon dalam sebuah telefilem Indonesia bersamanya.
“Saya tidak mahu komen banyak kerana dakwaan ini juga tidak benar sama sekali dan kepada mereka yang sewenang-wenangnya melemparkan dakwaan ini, saya rasa lebih baik fikirkan soal diri sendiri sebelum memburukkan orang lain.
“Perbetulkan diri sendiri sebelum meletakkan kesalahan kepada orang lain. Hentikan perkara negatif itu adalah langkah lebih baik,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran telefilem Nokhtah Kasih, siaran TV3 yang akan ditayangkan pada Februari 2015. Hmetro Online
0 Response to "Panas! Miera Liyana Jalinkan Hubungan Cinta Dengan Fauzi Nawawi?"
Post a Comment