KANGAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis meminta supaya anggota beruniform seperti polis dan ahli sukan beragama Islam tidak memakai lilitan hitam ataupun warna lain di lengan baju kerana perbuatan itu adalah haram.
Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya (gambar) berkata, perbuatan berkenaan sering dilakukan ketika kematian sedangkan ia merupakan adat kebudayaan bagi orang kafir.
“Pihak kami telah menyemak perkara ini dan mendapati Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1987 telah membuat keputusan bahawa perbuatan itu haram, oleh itu Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersetuju sebulat suara menerima keputusan itu.
“Setiap bentuk pakaian bagi tujuan sosial atau sebagainya yang dipakai oleh orang Islam hendaklah tidak melibatkan unsur-unsur yang khusus dengan adat atau keagamaan bagi agama lain,” katanya merujuk kepada keputusan berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Negeri Perlis di sini, semalam.
Justeru beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah drastik mengenai perkara ini apabila ia dilihat sering berlaku dalam kalangan anggota uniform dan ahli sukan semasa berkabung yang juga tidak disyariatkan agama Islam kecuali kepada ahli keluarga dan isteri dalam tempoh tertentu,
“Jadi kita tidak boleh mewarisi perbuatan penjajah sebelum ini sedangkan ia bertentangan dengan agama.
"Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari, Kitab al_Jihad Secara Taklil (Daripada Ibn Umar katanya: Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”),” jelas Dr Juanda.
Qasidah mohon bantuan Rasulullah syirik
Jawatankuasa Fatwa Perlis turut melarang penduduk Islam di negeri ini, samada dalam bentuk qasidah, nasyid atau doa yang menyebut perkataan 'al-madad ya Rasulullah' yang membawa maksud 'mohon bantuan wahai Rasulullah' kerana ia adalah perbuatan syirik.
Dr Juanda berkata berdasarkan kajian penyelidik jabatan mufti berkenaan mendapati tidak ada ruang langsung untuk memahami ungkapan 'al madad ya Rasulullah' itu membawa kepada maksud lain kecuali meminta pertolongan daripada Nabi Muhammad.
Katanya ia adalah sejenis al- istighathah (doa) yang tidak dibenarkan dalam agama Islam.
Malah nas-nas dalam al-Quran dan hadis jelas melarang meminta tolong kepada orang yang mati termasuk Rasulullah yang telah wafat 1,400 tahun yang lalu.
“Untuk perkara ini jabatan mempunyai penjelasan dalam bentuk risalah hampir 50 muka surat.
"Antaranya menggariskan sebarang bentuk qasidah termasuk yang melaungkan ungkapan-ungkapan membawa syirik tidak boleh dilaksanakan di Perlis.
“Ini kerana kami mengesan ada pihak-pihak tertentu yang cuba membawa masuk qasidah dan doa sedemikian yang harus dielakkan,” katanya.
Dr Juanda juga meminta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan penyelidikan tentang ungkapan sedemikian di dalam qasidah agar umat Islam terutama orang awam tidak tertipu oleh ungkapan yang boleh menyebabkan mereka secara tidak sedar jatuh melakukan perbuatan syirik dalam doa.
Pihaknya telah lebih setahun membincangkan mengenai ungkapan yang banyak disebut dalam qasidah atau syair dan jelas ia tidak menunjukkan maksud lain selain meminta pertolongan Rasulullah.
Ketika ditanya mengenai majlis qasidah yang dibawa oleh golongan tertentu yang semakin mendapat perhatian ramai, Juanda berkata sekiranya dalam qasidah tersebut mempunyai ungkapan sedemikian ia tetap syirik.
“Kita bukan menghukum majlis seperti itu, saya sendiri tidak pernah berada dalam majlis qasidah berkenaan.
"Bagaimanapun, kita bimbang jika ia ada diselit dengan ungkapan tersebut secara tidak langsung akan membawa kepada unsur Syiah seperti meminta pertolongan kepada cucu Rasulullah Hasan, dan Husein serta anakanda baginda Fatimah,” katanya. SHarian
0 Response to "Haram pakai lilitan di lengan baju"
Post a Comment