Pendakwah Minta Maaf Sebar Cerita Papadom Guna Minyak Biawak, Tosai Dicampur Tuak…


PADA 27 Januari lalu, Ustaz Shukri Harun telah menaikkan satu status yang agak kontroversi di Facebook.

Status yang dikatakan bersumber daripada pembakar mayat agama Hindu itu memberi amaran agar umat Islam menjauhi dua makanan India iaitu papadom dan tosai kerana ia digoreng menggunakan minyak biawak dan dicampur tuak.

Ustaz Shukri turut menimbulkan isu berkenaan air kencing lembu disimbah di kuali di restoran mamak.

Status ini mendatangkan perasaan kurang senang sebilangan pihak apatah lagi terdapat ramai juga saudara seislam yang berbangsa India.

Jadi beberapa individu telah menghubungi Ustaz Shukri untuk membetulkan fakta yang silap dan boleh menimbulkan prasangka dalam masyarakat ini.

Selepas berpuas hati dengan penjelasan diberikan, Ustaz Shukri akhirnya memuatnaik status bahawa papadom dan tosai adalah makanan yang seratus peratus bersumberkan sayuran.


Ustaz Shukri turut memohon maaf kepada pihak yang terasa terutama kaum India.


Berkenaan dakwaan bahawa air kencing lembu disimbah di kuali pula, Ustaz Shukri memohon maaf kepada restoran mamak kerana tidak usul periksa sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut.


Ustaz Shukri turut dikunjungi Presiden Pengerusi Inspirasi Muhibah India Muslim Malaysia (IMIM) untuk memperjelaskan salah faham tentang pembuatan papadom dan tosai.


Dari satu segi tindakan Ustaz Shukri pastilah datang daripada niat murni mahu berkongsi dengan umat Islam lain berkenaan makanan yang halal dan bersih.

Namun pada masa sama, sewajarnya kita semua lebih berhati-hati apabila melakukan sebarang perkongsian maklumat terutama yang mempunyai unsur kontroversi.

Hal ini kerana penyebaran maklumat yang dilakukan dibimbangi boleh membawa kepada fitnah dan suasana tidak aman dalam masyarakat berbilang bangsa. – REM RAMZI

1 Response to "Pendakwah Minta Maaf Sebar Cerita Papadom Guna Minyak Biawak, Tosai Dicampur Tuak…"