ANTARA gadis tukang urut yang ditahan dalam operasi BAH siri ke-6, semalam.
Kuala Lumpur: Seorang pelanggan yang sedang mendapatkan urutan erotik daripada wanita separuh bogel cuba melarikan diri ketika sebuah premis refleksologi di Taman Danau Kota di sini, diserbu petang semalam.
Bagaimanapun, usaha lelaki berusia 40-an itu sia-sia berikutan premis berkenaan sudah dikepung manakala tukang urut wanita yang hanya memakai seluar dalam dan coli itu turut ditahan ketika bersembunyi di dalam almari.
Operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) siri ke-6 bermula jam 3 petang hingga 8 malam itu, membabitkan 300 anggota daripada pelbagai agensi diketuai Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Difahamkan, serbuan besar-besaran itu dijalankan berikutan menerima aduan orang awam yang melaporkan terdapat aktiviti tidak bermoral berlaku di premis yang berselindung di sebalik papan tanda perniagaan kecantikan dan refleksologi.
Anggota penguat kuasa terpaksa memecah masuk ke dalam beberapa premis refleksologi terbabit selepas tindakan memperkenalkan diri dan mengetuk pintu premis tidak diendahkan pengusaha premis.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, dalam operasi itu 56 wanita warga asing dari Thailand dan Vietnam ditahan.
“Semua wanita berusia 20 hingga 30-an itu ditahan hasil serbuan ke atas 15 premis yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran,” katanya.
Menurutnya, antara agensi penguatkuasaan yang terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat antara pelanggan yang datang ke pusat urut berkenaan adalah dalam kalangan pelajar universiti.
“Op BAH ini terus dijalankan sehingga semua aktiviti haram dapat dibanteras. Setakat ini, banyak kemajuan dicapai apabila hampir 45 peratus premis yang pernah diserbu sebelum ini tidak lagi membuka perniagaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, operasi seumpama itu memberi isyarat jelas kepada pengusaha premis terbabit mereka tidak akan dibiarkan begitu saja.
“Kami mewakili pengguna amat berterima kasih dan menghargai usaha yang dilakukan kerana semakin ramai orang menjadikan pusat urut ini sebagai tempat istirahat mereka,” katanya. Hmetro Online
0 Response to "Bercoli Dalam Almari"
Post a Comment