Bekas anggota kumpulan vokal Elite, empunya nama Nor Azzarima Zawari, 35, atau Azza terpaksa menerima kenyataan pahit kehilangan salah satu tiub fallopio setelah doktor mendapati kandungannya yang mengalami keguguran kali ketiga berada di luar rahim.
Memetik portal MStar, Azza mendedahkan, pembedahan membuang tiub fallopio belah kirinya meninggalkan kesan mendalam kerana sudah sedia dimaklumkan doktor dia akan mengalami kesukaran untuk hamil selepas ini.
“Ketika itu, hanya Allah yang tahu betapa sedihnya saya apabila doktor mengesahkan akan sukar hamil kerana mempunyai satu tiub fallopia sahaja.”
Namun, ujar Azza, dia reda dengan ketentuan Allah SWT dan tidak patah semangat kerana yakin impiannya dan suami untuk memiliki anak akan dikurniakan juga satu hari nanti.
“Kehamilan ketiga adalah bukti kuasa Allah lebih daripada segalanya dan membuat saya bertambah yakin akan hamil lagi selepas ini,” ujarnya optimis.
Sebelum ini Azza mengalami keguguran sebanyak dua kali iaitu pada 2012 dan Januari 2013. Pada penghujung 2013, Azza sekali lagi mendapat perkhabaran buruk dia keguguran buat kali ketiga.
Azza yang kini lebih aktif berlakon berbanding menyanyi, bagaimanapun bersyukur dengan sokongan orang sekeliling termasuk rakan artis yang memahami kondisinya.
Antara yang sudi berkongsi rasa dan petua adalah pelakon Rozita Che Wan dan Didie Alias.
Semoga Azza dan suami tabah mengharungi dugaan dan impian mendapatkan zuriat yang dinanti-nantikan termakbul satu hari nanti. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
0 Response to "Gugur Kali Ketiga, Azza Elite Terpaksa Buang Tiub Fallopio"
Post a Comment